Tuesday, July 22, 2025

MELAYU VERSE 2060 Naratif Digital Bangsa Melayu dalam Dunia Maya Interaktif

 

MELAYU VERSE 2060

Naratif Digital Bangsa Melayu dalam Dunia Maya Interaktif

 

PENGENALAN

Kita sedang memasuki satu era baharu di mana pengaruh dan kuasa tidak lagi ditentukan semata-mata oleh senjata atau kekayaan, tetapi oleh keupayaan sesebuah bangsa menguasai naratif digital dan membina pengalaman yang menyentuh minda dan jiwa generasi muda. Di sinilah terletaknya keperluan untuk membina MelayuVerse ,satu alam maya interaktif yang memaparkan sejarah, budaya, nilai dan masa depan bangsa Melayu-Islam dalam bentuk yang imersif, strategik dan mendidik.

MelayuVerse bukan sekadar aplikasi pendidikan. Ia adalah satu civilizational platform untuk membina naratif bangsa bukan dengan retorik, tetapi dengan teknologi. Ia membolehkan anak muda bukan sekadar membaca sejarah, tetapi menghidupkannya. Bukan sekadar menonton video tentang Melayu, tetapi menjadi watak aktif dalam perjalanan peradaban bangsa.

OBJEKTIF

Matlamat utama MelayuVerse adalah untuk membina jati diri generasi muda Melayu dalam dunia maya yang mereka sudah selesa dan kuasai melalui pengalaman digital yang menanam kebanggaan, kefahaman sejarah dan visi masa depan bangsa. Ia juga bertujuan menghubungkan kembali akar warisan dan nilai Islam dengan teknologi paling canggih — VR, AI, naratif interaktif dan ekonomi tokenisasi.

KONSEP TERAS

MelayuVerse akan dibina dengan beberapa zon utama. Antaranya ialah zon sejarah dan tamadun, yang merangkumi kampung tradisional Melayu seperti Kampung Tok Kenali, kota Melaka era Kesultanan, serta kawasan-kawasan seperti perkampungan Mandailing, Bugis, dan Minang. Watak-watak ulama, pendekar, cendekiawan dan srikandi akan dihidupkan semula melalui avatar bertenaga AI yang mampu berinteraksi secara langsung dengan pengguna. Anak muda akan dapat “berbual” dengan tokoh seperti Tun Dr. Ismail, Nik Abdul Aziz, Syed Sheikh al-Hadi, atau Hang Nadim — dan belajar daripada mereka secara naratif hidup. 

Selain itu, akan diwujudkan Zon Masa Depan Melayu 2060 — yang menggambarkan sebuah Malaysia yang dipimpin oleh nilai Islam, teknologi AI, kepimpinan ulul albab, dan sistem ekonomi wakaf digital. Di sini, pengguna akan meneroka bandaraya Halal AI, universiti Islam strategik, dan pusat fatwa teknologi, serta berinteraksi dalam persekitaran maya yang menunjukkan bagaimana bangsa Melayu boleh menjadi pelopor dunia Islam kontemporari.

Setiap pengguna MelayuVerse akan melaluinya bukan sebagai penonton, tetapi sebagai peserta aktif. Mereka akan diuji melalui misi simulasi — sebagai pemimpin wilayah, pengurus krisis makanan, atau perunding geopolitik. Semua ini akan mengasah karakter, adab, strategi dan kemahiran pengurusan diri dan masyarakat.

PENGGUNA SASARAN

Projek ini akan menyasarkan generasi muda Melayu berumur antara 13 hingga 35 tahun, termasuk pelajar sekolah menengah, mahasiswa, pelatih TVET, pelapis kepimpinan belia, serta para pendidik dan penggiat seni digital. Ia juga terbuka kepada diaspora Nusantara di Singapura, Indonesia, Brunei dan Selatan Thailand — menjadikan MelayuVerse sebagai medan integrasi serantau dan diplomasi budaya digital.

PLATFORM TEKNOLOGI

MelayuVerse akan dibangunkan menggunakan engine digital bertaraf tinggi seperti Unity atau Unreal Engine. Elemen AI digunakan bagi mencipta watak sejarah yang mampu berinteraksi, menjawab soalan, dan memberi cabaran moral kepada pengguna. Selain itu, ciri-ciri blockchain dan sistem NFT akan dimasukkan untuk membolehkan pengguna memiliki seni digital Melayu-Islam, dan membina nilai ekonomi budaya menerusi platform ini.

PELAKSANA DAN RAKAN STRATEGIK

Cadangan pelaksanaan akan digerakkan oleh gabungan pelbagai agensi dan institusi seperti MRANTI dan MIMOS dari sudut infrastruktur digital, MARA, UiTM dan UKM dari segi kandungan pendidikan dan sejarah, FINAS dan MyCreative Ventures bagi penghasilan kandungan visual, dan Yayasan Wakaf Malaysia serta agensi zakat bagi pembiayaan sosial awal. Pelibatan MOSTI dan KKD juga penting dari segi penyelarasan dasar dan pensijilan platform.

FASA PELAKSANAAN

Fasa pertama yang dirancang dalam tempoh enam bulan pertama ialah pembentukan jawatankuasa khas MelayuVerse di bawah naungan Jabatan Perdana Menteri atau Majlis Tindakan Strategik Negara. Seterusnya, fasa reka bentuk prototaip akan dimulakan dengan membina satu zon khas — contohnya Kampung Tok Kenali secara VR — untuk dijadikan modul demo. Pelajar-pelajar dari 10 sekolah rintis akan diberi akses awal bagi menguji pengalaman dan keberkesanannya.

Dalam enam bulan seterusnya, versi beta MelayuVerse akan dilancarkan kepada 100 buah sekolah, madrasah dan IPT di seluruh negara. Latihan kepada guru dan pensyarah akan dilaksanakan selari, bagi memastikan naratif Maya ini mampu menyatu dengan kurikulum kebangsaan dan latihan kepimpinan akar umbi.

Fasa ketiga menyaksikan peluasan ke peringkat nasional dan serantau. Kerjasama dengan institusi pendidikan ASEAN, rangkaian OIC dan pertubuhan budaya Islam dunia akan dimulakan. Dalam masa yang sama, zon ekonomi MelayuVerse akan diaktifkan — membolehkan pelukis, penulis, animator dan pengkarya Melayu menjual karya mereka secara digital melalui platform NFT.

KOS DAN PEMBIAYAAN

Anggaran kos awal bagi tempoh 18 bulan pertama pembangunan, pelaksanaan, kandungan dan pelibatan komuniti adalah sekitar RM23 juta. Ini boleh dibiayai melalui gabungan dana kerajaan (MOSTI, MARA, KKD), geran impak sosial dari institusi zakat dan wakaf, serta kerjasama pelaburan awal dari GLC dan syarikat teknologi.

TANDA KEJAYAAN

Kejayaan awal MelayuVerse akan diukur berdasarkan jumlah pengguna aktif (disasarkan 100,000 dalam 18 bulan), jumlah kandungan naratif dan sejarah yang dihasilkan (sekurang-kurangnya 15 modul interaktif), jumlah pencipta kandungan Melayu baharu (sekitar 300 individu), dan hasil jualan NFT atau token budaya digital.

Yang paling penting — kejayaan MelayuVerse diukur dari segi rasa bangga dan faham yang mula tertanam dalam generasi muda Melayu tentang siapa mereka, dari mana mereka datang, dan ke mana mereka sepatutnya pergi.

PENUTUP

MelayuVerse adalah ruang naratif baharu yang tidak pernah dibina sebelum ini — bukan sekadar teknologi, tetapi medan jiwa digital bangsa. Ia akan menjadi universiti maya, pasar seni digital, arena kepimpinan maya, dan medan diplomasi budaya — semuanya dalam satu dunia yang dirancang oleh kita, untuk anak cucu kita.

Sekiranya bangsa Barat membina Marvel Universe untuk menanam nilai dan kuasa melalui filem dan fiksyen, maka bangsa Melayu mesti mula membina MelayuVerse — bukan untuk hiburan semata-mata, tetapi sebagai tamadun digital yang akan mewariskan maruah kepada generasi 2060 dan seterusnya.

Masa depan tidak akan menunggu bangsa yang lambat menyusun naratif. MelayuVerse mesti bermula hari ini — atau kita akan disusun oleh naratif orang lain, di dunia yang kita sendiri tidak kuasai.

KAMU MENJERIT DENGAN AMARAH. TAPI KAMI MENAHAN SEGALANYA DENGAN KESABARAN.

KAMU MENJERIT DENGAN AMARAH.

TAPI KAMI MENAHAN SEGALANYA DENGAN KESABARAN.

 

Ketika Ketua Setiausaha Negara (KSN) menegaskan bahawa penjawat awam tidak wajar terlibat dalam demonstrasi jalanan,itu bukan ancaman. Ia bukan perintah kosong,Ia adalah panggilan kepada akal dan peringatan kepada hati agar kita tidak mengkhianati tempat kita berpijak.

Tapi apa yang berlaku?

Ada yang memaki, menyindir, memperlekeh.Kononnya KSN takut pada suara rakyat.Kononnya penjawat awam bisu, tunduk, tiada maruah.

Itu adalah salah . Kami tidak tunduk. Kami tidak bisu. Kami sedang menahan negara ini dari jatuh.

UNDANG-UNDANG ITU BUKAN BELENGGU. IA ADALAH DINDING YANG MENGHALANG KITA DARI HANCUR DARI DALAM.

Surat JPA bertarikh 19 Jun 2025 bukan satu ciptaan baru.Ia kesinambungan dasar yang telah digariskan sejak 2011. Ia bukan ditulis untuk menyekat suara. Ia ditulis untuk mengingatkan:

Penjawat awam tidak boleh sesuka hati menyentuh dasar kerajaan, menyebar maklumat rasmi, atau menyertai protes politik kerana mereka bukan penonton, mereka adalah pelaksana.Mereka bukan rakyat biasa.Mereka adalah pemegang sumpah.

JIKA PENJAWAT AWAM MULA TURUN KE JALAN, MAKA TIADA LAGI YANG TINGGAL UNTUK MENEGAKKAN NEGARA.

Kamu ajak kami marah.Tapi siapa yang akan tandatangan gaji kamu? Siapa akan rawat anak kamu di hospital?Siapa akan pastikan subsidi itu benar sampai?Siapa akan buka balai, jaga sempadan, urus data, selia sekolah?

Kami tidak turun, bukan kerana kami tak faham. Kami tidak turun, kerana kami faham lebih daripada kamu.

RUKUNEGARA YANG KAMU PERSENDA KAMI MASIH DAKAP SETIAP PAGI KETIKA MULA BEKERJA

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara” bukan hanya dibaca semasa perhimpunan.Ia hidup dalam borang yang kami semak.Dalam keputusan yang kami tanda tangan.Dalam krisis yang kami urus tanpa kamera. Dalam malam yang kami tahan tanpa pulang, demi rakyat yang tak tahu pun siapa nama kami.

Kamu cabar makna kesetiaan. Kami tak perlu jawab.Kami buktikan setiap hari dalam diam.

KALAU SEMUA PENJAWAT AWAM MAHU JADI PENJERIT, SIAPA LAGI YANG MAHU JADI PENJAGA?

Kami bukan alat mana-mana parti. Kami bukan penjilat mana-mana kuasa. Kami tidak berdiri kerana kami disuruh Kami berdiri kerana kami masih waras ketika dunia di luar sedang terbakar. Kamu ajak kami berarak. Tapi kamu tak ada pelan selepasnya. Kami kekal bekerja walau kadang dihina,kerana kami tahu, bangsa ini tak boleh dibina atas emosi semata.

PESAN KAMI, SEKALI UNTUK SEMUA

Kami tidak akan tunduk kepada desakan jalanan.Kami tidak akan terikut dengan emosi populis. Kami tidak akan tinggalkan tempat kami berdiri kerana kalau kami ikut kamu,yang jatuh bukan hanya kerajaan tetapi sistem seluruhnya.

 #KamiMasihBerdiri


Sunday, May 7, 2023

Ilmu Kajihayat - Phenology


Setiap seorang daripada manusia zaman moden ini, mempunyai DNA yang berhubung secara terus dengan nenek moyang mereka di zaman purba. Disebabkan kemampuan nenek moyang kita mengatasi halangan dan menjadikan obstacles as power generators untuk terus hidup, maka kita telah berada disini hasil daripada usaha mereka mengatasi halangan dalam kehidupan.


Selain daripada itu, nenek moyang kita di zaman purba perlu mempunyai ilmu yang terperinci tentang alam semulajadi tempat tinggal mereka. Mereka perlu faham bagaimana alam semulajadi mereka berfungsi. Hanya dengan mengetahui keadaan satu tempat tidak mencukupi. Mereka perlu tahu keadaan semulajadi semua tempat yang mereka lalui dan dengan cepat memahami ancaman daripada tempat-tempat tersebut dan bagaimana mengatasinya.  Kunci kepada kejayaan nenek moyang kita adalah dengan berada di tempat yang betul pada masa yang tepat. Mereka perlu berada di mana aliran sungai mengalir, tempat rumput-rumput tumbuh subur, pohon-pohon berbuah ranum, tumbuhan-tumbuhan sedia untuk mengeluarkan benih dan binatang-binatang liar yang diburu sudah sedia untuk berpindah. 

Bidang kajihayat ini yang memberi perhatian kepada “timing” perubahan alam semulajadi dinamakan “phenology”. Ilmu ini sangatlah penting bagi memastikan kesinambungan hayat bangsa manusia. Kita hanya perlu merangsang minda dan mula menggunakan akal untuk berfikir supaya dapat meng-akses kepada pengetahuan beribu-ribu tahun daripada nenek-moyang purba kita ini yang sudah sedia tertanam dalam sanubari kita.Kita mewarisi pengetahuan ini semenjak dari zaman Tok Adam (Nabi Adam a.s) lagi.  Pengetahuan mereka  dapat membantu kita menghadapi semua “obstacles’ yang kita hadapi sekarang ini. Semua pengetahuan dari nenek-nenek moyang kita yang digunakan untuk bertahan dalam menghadapi halangan-halangan kehidupan mereka ada dalam DNA kita. 

oleh

Noor Mohamed

07/05/23

9.45 malam

Changlun. Felda Batu 8 

Kedah Darul Aman

Belajar daripada Tamadun-Tamadun silam.

Jika dikaji peradaban dan tamadun-tamadun besar dunia di zaman silam seperti Mohenjodaro dan Harappa di India, Hwang Ho di China, Tamadun Yunani, Tamadun Sungai Nil yang membangunkan bandar-bandar ber-Pyramid di Mesir, Tamadun Babylonia dengan penempatan di tebing-tebing Sungai Tigris dan Euphretes dan lain-lain lagi, kita akan mendapati bahwa kebanyakkan tamadun-tamadun ini berbangga dengan pencapaian berasaskan Civil Engineering selain daripada falsafah, sistem pertanian, kod-kod perundangan dan lain-lain aspek kehidupan.

Tidak lupa juga kepada Empayar Tamadun Islam yang berkembang dari Timur Tengah ke Granada di Sepanyol hingga ke Nusantara Kepulauan Melayu ke seantero dunia. Tamadun Islam meninggalkan kesan-kesan sejarah yang begitu menakjubkan dalam semua bidang. Dalam bidang kejuruteraan pembinaan, Taj Mahal merupakan monumen bangunan yang mempunyai simetri dalaman dan luaran yang sangat menakjubkan. Masjid Top Kapi di Turki , Masjid Merah di Delhi, Al-Hambra di Sepanyol dan Masjid yang mempunyai sistem hawa dingin semula-jadi di Timbuktu, Afrika adalah lambang betapa tingginya peradaban kejuruteraan pembinaan Islam yang berasaskan kepada Mizan (bahasa Arab Al-Quran) atau Keseimbangan dalam Pembinaan.  

Apa yang cuba saya tekankan adalah, tamadun-tamadun ini maju kerana mereka sentiasa memikirkan cara-cara untuk mengatasi halangan dalam kehidupan dengan membina infrastruktur yang dapat membantu mereka memudahkan kehidupan mengikut anutan yang mereka percayai. Namun begitu, tamadun-tamadun ini semua hancur atau menjadi dormant ( tidak aktif lagi) disebabkan amalan-amalan tidak bermoral dan berfikiran negatif yang akhirnya memesongkan pemikiran positif yang menjadi punca kejayaan mereka.  


oleh

Noor Mohamed

07/05/23

9.29 malam

Changlun. Felda Batu 8 

Kedah Darul Aman

Thursday, August 18, 2022

Penjenamaan Politik_(Political Branding)

Zaman sudah berubah. Perubahan ini antara lain disebabkan teknologi. Di antara teknologi yang ada sekarang, TEKNOLOGI MAKLUMAT memainkan peranan yang sangat besar di dalam mengubah tatacara kehidupan manusia. Di alam teknologi maklumat peranan media sosial telah menjadi pemangkin kepada pelbagai perubahan yang terpaksa kita lalui dan hadapi. Media sosial membawa kesan kepada individu, masyarakat bahkan ke peringkat negara. Kesan daripada media sosial  ini antara lain disebabkan kesinambungan komunikasi manusia yang terjalin menghubungkan individu kepada dunia global menerusi rangkaian media sosial. Saiz maklumat yang dapat bergerak dalam rangkaian sekarang ini amatlah besar. Maklumat dapat dikongsi dalam pelbagai format dalam bentuk tulisan,visual, grafik, animasi, audio dan video dan kesemua penyaluran maklumat ini bergerak pada kelajuan cahaya. Apabila maklumat yang begitu besar dalam pelbagai format bergerak begitu pantas dengan kelajuan yang luarbiasa maka apa sahaja gerakkerja yang bergantung kepada maklumat sebagai asas untuk beroperasi akan terkesan dengan kelajuan maklumat disebarkan. Politik adalah antara aktiviti sosial yang sangat terkesan dengan saiz dan kelajuan maklumat disebarkan. Zaman dimana pentas-pentas ceramah adalah medan dimana ahli-ahli politik berhujah dan cuba meyakinkan para pengundi untuk menyokong mereka telah menjadi ketinggalan zaman. Apa yang menjadi trend terkini adalah dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam media sosial bagi menyebarkan maklumat pelbagai format untuk tujuan politik. Perubahan dalam arena politik ini menyebabkan ahli-ahli politik terpaksa melakukan penjenamaan semula mengikut arus teknologi maklumat. Penjenamaan politik (political branding) pada zaman bergelora (at turbulent times) adalah sesuatu yang perlu difahami demi kelangsungan sesebuah parti politik atau seorang pemimpin politik.

Dalam era penjenamaan politik, rakyat mesti di layan seperti pengguna. Nilai rakyat di era penjenamaan politik adalah sangat tinggi berbanding dengan zaman politik tradisional dimana rakyat dianggap sebagai pengundi. Sebelum kita fahami apa itu penjenamaan politik maka kita perlu fahami dulu apa itu jenama (brand)?

Mengikut Brian Tracy (Guru Pemasaran terkemuka Amerika Syarikat),  jenama adalah janji_(a brand is a promise).  Apabila anda mempunyai jenama, itu adalah satu janji yang anda buat dan sudah diketahui umum yang  anda akan menepati janji tersebut kepada individu yang mahukan jenama anda atau individu yang anda ingin pengaruhi. Jenama pula bermula dengan nilai anda (your values).  Apakah nilai-nilai yang cuba anda bawa di dalam jenama anda? Kualiti, kecermelangan, bertindakbalas, kerja-berpasukan, inovasi, kepimpinan,dll. Apabila nilai jenama anda telah dijelaskan maka anda perlu berpegang kepada asas prinsip keboleh-percayaan (integrity). Apabila anda sentiasa bertindak atas prinsip penjenamaan kebolehpercayaan maka setiap orang yang berinteraksi dengan anda akan memberi maklum balas bahawa jenama yang anda bawa sentiasa berpegang pada janji. Di dalam penjenamaan terdapat 8 peraturan.

  1. Pengkhususan
  2. Kepimpinan
  3. Personaliti
  4. Keistimewaan
  5. Keterlihatan
  6. Utiliti
  7. Kegigihan
  8. Muhibbah
Jenama yang anda bawa perlu merangkumi 8 peraturan diatas untuk dikenang oleh pengguna yang akan mengatakan bahawa anda mempunyai jenama yang baik selepas mereka mengguna jenama anda berbanding dengan jenama lain. 


Sekarang mari kita fahami Penjenamaan Politik. Secara ringkas, definasi jenama politik adalah kombinasi segala petanda, simbol, slogan, manifesto, profil, nama, rekabentuk, dll  yang digunakan untuk memaklumkan nilai, visi, jenama dan keperibadian entiti politik, pemimpin politik, parti politik mahupun kerajaan. Jenama politik juga adalah gugusan tanggapan, hubung-kait dan bayangan minda yang khalayak ada terhadap sesuatu organisasi. 

Lebih jelas sesebuah parti politik atau pemimpin politik menerangkan dan membuktikan nilai-nilai jenama mereka dengan menuruti rapat 8 peraturan jenama yang dijelaskan tadi maka lebih positif tanggapan masyarakat atau khalayak ramai terhadap jenama mereka. Intipati yang sangat penting kepada jenama politik adalah JANJI. Mana-mana parti politik atau pemimpin politik yang mungkir janji maka mereka akan dihukum oleh pengguna (rakyat) apabila datangnya hari mengundi semasa pilihanraya berlangsung!

Manifesto adalah janji dan janji itu merangkumi keseluruhan jenama politik!


oleh

Noor Mohamed

18/08/22

12.47pagi

Changlun. Felda Batu 8 








    

Thursday, August 11, 2022

Apa itu politik?

Proses oleh sekumpulan orang membuat keputusan bersama didefinasikan sebagai politik. Istilah ini pada amnya diguna pakai kepada seni atau ilmu mentadbir kerajaan atau menguruskan negeri. Ia juga merujuk kepada perilaku kerajaan awam (civil government). Walau bagaimanapun, politik juga merujuk kepada interaksi yang melibatkan kumpulan-kumpulan bukan politik di dalam perebutan kuasa dan hak yang meliputi badan –badan koprat, akedemik dan keagamaan hatta perhubungan suami isteri dan anak-anak, ada juga politik. Dari segi istilah, perkataan politik berasal daripada bahasa Greek πολιτικός, yang membawa makna “berkenaan rakyat”. 

Tetapi, bagi orang awam, politik membawa makna yang lain. Rata-rata rakyat Malaysia, tidak gemar akan berpolitik kerana ianya bertentangan dengan adat dan budaya orang-orang Melayu, Cina dan India yang mementingkan adat bersopan-santun. Politik bagi orang awam bermakna, perbalahan oleh dua atau lebih pihak berkenaan dengan perkara-perkara bersabit parti-parti politik atau berkenaan isu-isu semasa yang di paparkan dalam surat khabar atau di media sosial. Masaalah bermula apabila golongan yang tidak faham apa itu politik berhujah berkenaan politik. 

Salam Sejahtera

Salam Perkenalan

Nama saya Noor Mohamed b Mohd Yousof. Berasal dari Pulau-Pinang. Dilahirkan di Adventist Hospital, Pulau Tikus pada 13hb Februari 1972. Umur saya sekarang (2022) 50 tahun. Saya berkelulusan Sarjana Muda IT (Mobile Computing) daripada Open Universiti Malaysia (OUM). 

Tujuan saya menulis BLOG ini adalah untuk memberikan pendapat bukan untuk disetuju pakai. Cuma pandangan saya akan menambah lagi pilihan di dalam rencana buah fikiran yang pelbagai di media sosial. Saya berharap BLOG ini dapat menjadi manfaat terutama untuk golongan muda bagi dijadikan sandaran apabila mengambil bahagian dalam wacana diskusi di alam maya.

Jika ada sesiapa berminat menjemput saya untuk memberikan ceramah berkenaan tajuk-tajuk pengetahuan am, politik, dakwah dan sains sosial maka bolehlah berhubung dengan saya melalui WHATSAPP di talian +6011-21424732.

Salam Sejahtera