Thursday, August 18, 2022

Penjenamaan Politik_(Political Branding)

Zaman sudah berubah. Perubahan ini antara lain disebabkan teknologi. Di antara teknologi yang ada sekarang, TEKNOLOGI MAKLUMAT memainkan peranan yang sangat besar di dalam mengubah tatacara kehidupan manusia. Di alam teknologi maklumat peranan media sosial telah menjadi pemangkin kepada pelbagai perubahan yang terpaksa kita lalui dan hadapi. Media sosial membawa kesan kepada individu, masyarakat bahkan ke peringkat negara. Kesan daripada media sosial  ini antara lain disebabkan kesinambungan komunikasi manusia yang terjalin menghubungkan individu kepada dunia global menerusi rangkaian media sosial. Saiz maklumat yang dapat bergerak dalam rangkaian sekarang ini amatlah besar. Maklumat dapat dikongsi dalam pelbagai format dalam bentuk tulisan,visual, grafik, animasi, audio dan video dan kesemua penyaluran maklumat ini bergerak pada kelajuan cahaya. Apabila maklumat yang begitu besar dalam pelbagai format bergerak begitu pantas dengan kelajuan yang luarbiasa maka apa sahaja gerakkerja yang bergantung kepada maklumat sebagai asas untuk beroperasi akan terkesan dengan kelajuan maklumat disebarkan. Politik adalah antara aktiviti sosial yang sangat terkesan dengan saiz dan kelajuan maklumat disebarkan. Zaman dimana pentas-pentas ceramah adalah medan dimana ahli-ahli politik berhujah dan cuba meyakinkan para pengundi untuk menyokong mereka telah menjadi ketinggalan zaman. Apa yang menjadi trend terkini adalah dengan menggunakan aplikasi-aplikasi yang terdapat dalam media sosial bagi menyebarkan maklumat pelbagai format untuk tujuan politik. Perubahan dalam arena politik ini menyebabkan ahli-ahli politik terpaksa melakukan penjenamaan semula mengikut arus teknologi maklumat. Penjenamaan politik (political branding) pada zaman bergelora (at turbulent times) adalah sesuatu yang perlu difahami demi kelangsungan sesebuah parti politik atau seorang pemimpin politik.

Dalam era penjenamaan politik, rakyat mesti di layan seperti pengguna. Nilai rakyat di era penjenamaan politik adalah sangat tinggi berbanding dengan zaman politik tradisional dimana rakyat dianggap sebagai pengundi. Sebelum kita fahami apa itu penjenamaan politik maka kita perlu fahami dulu apa itu jenama (brand)?

Mengikut Brian Tracy (Guru Pemasaran terkemuka Amerika Syarikat),  jenama adalah janji_(a brand is a promise).  Apabila anda mempunyai jenama, itu adalah satu janji yang anda buat dan sudah diketahui umum yang  anda akan menepati janji tersebut kepada individu yang mahukan jenama anda atau individu yang anda ingin pengaruhi. Jenama pula bermula dengan nilai anda (your values).  Apakah nilai-nilai yang cuba anda bawa di dalam jenama anda? Kualiti, kecermelangan, bertindakbalas, kerja-berpasukan, inovasi, kepimpinan,dll. Apabila nilai jenama anda telah dijelaskan maka anda perlu berpegang kepada asas prinsip keboleh-percayaan (integrity). Apabila anda sentiasa bertindak atas prinsip penjenamaan kebolehpercayaan maka setiap orang yang berinteraksi dengan anda akan memberi maklum balas bahawa jenama yang anda bawa sentiasa berpegang pada janji. Di dalam penjenamaan terdapat 8 peraturan.

  1. Pengkhususan
  2. Kepimpinan
  3. Personaliti
  4. Keistimewaan
  5. Keterlihatan
  6. Utiliti
  7. Kegigihan
  8. Muhibbah
Jenama yang anda bawa perlu merangkumi 8 peraturan diatas untuk dikenang oleh pengguna yang akan mengatakan bahawa anda mempunyai jenama yang baik selepas mereka mengguna jenama anda berbanding dengan jenama lain. 


Sekarang mari kita fahami Penjenamaan Politik. Secara ringkas, definasi jenama politik adalah kombinasi segala petanda, simbol, slogan, manifesto, profil, nama, rekabentuk, dll  yang digunakan untuk memaklumkan nilai, visi, jenama dan keperibadian entiti politik, pemimpin politik, parti politik mahupun kerajaan. Jenama politik juga adalah gugusan tanggapan, hubung-kait dan bayangan minda yang khalayak ada terhadap sesuatu organisasi. 

Lebih jelas sesebuah parti politik atau pemimpin politik menerangkan dan membuktikan nilai-nilai jenama mereka dengan menuruti rapat 8 peraturan jenama yang dijelaskan tadi maka lebih positif tanggapan masyarakat atau khalayak ramai terhadap jenama mereka. Intipati yang sangat penting kepada jenama politik adalah JANJI. Mana-mana parti politik atau pemimpin politik yang mungkir janji maka mereka akan dihukum oleh pengguna (rakyat) apabila datangnya hari mengundi semasa pilihanraya berlangsung!

Manifesto adalah janji dan janji itu merangkumi keseluruhan jenama politik!


oleh

Noor Mohamed

18/08/22

12.47pagi

Changlun. Felda Batu 8