Tuesday, July 22, 2025

KAMU MENJERIT DENGAN AMARAH. TAPI KAMI MENAHAN SEGALANYA DENGAN KESABARAN.

KAMU MENJERIT DENGAN AMARAH.

TAPI KAMI MENAHAN SEGALANYA DENGAN KESABARAN.

 

Ketika Ketua Setiausaha Negara (KSN) menegaskan bahawa penjawat awam tidak wajar terlibat dalam demonstrasi jalanan,itu bukan ancaman. Ia bukan perintah kosong,Ia adalah panggilan kepada akal dan peringatan kepada hati agar kita tidak mengkhianati tempat kita berpijak.

Tapi apa yang berlaku?

Ada yang memaki, menyindir, memperlekeh.Kononnya KSN takut pada suara rakyat.Kononnya penjawat awam bisu, tunduk, tiada maruah.

Itu adalah salah . Kami tidak tunduk. Kami tidak bisu. Kami sedang menahan negara ini dari jatuh.

UNDANG-UNDANG ITU BUKAN BELENGGU. IA ADALAH DINDING YANG MENGHALANG KITA DARI HANCUR DARI DALAM.

Surat JPA bertarikh 19 Jun 2025 bukan satu ciptaan baru.Ia kesinambungan dasar yang telah digariskan sejak 2011. Ia bukan ditulis untuk menyekat suara. Ia ditulis untuk mengingatkan:

Penjawat awam tidak boleh sesuka hati menyentuh dasar kerajaan, menyebar maklumat rasmi, atau menyertai protes politik kerana mereka bukan penonton, mereka adalah pelaksana.Mereka bukan rakyat biasa.Mereka adalah pemegang sumpah.

JIKA PENJAWAT AWAM MULA TURUN KE JALAN, MAKA TIADA LAGI YANG TINGGAL UNTUK MENEGAKKAN NEGARA.

Kamu ajak kami marah.Tapi siapa yang akan tandatangan gaji kamu? Siapa akan rawat anak kamu di hospital?Siapa akan pastikan subsidi itu benar sampai?Siapa akan buka balai, jaga sempadan, urus data, selia sekolah?

Kami tidak turun, bukan kerana kami tak faham. Kami tidak turun, kerana kami faham lebih daripada kamu.

RUKUNEGARA YANG KAMU PERSENDA KAMI MASIH DAKAP SETIAP PAGI KETIKA MULA BEKERJA

“Kesetiaan kepada Raja dan Negara” bukan hanya dibaca semasa perhimpunan.Ia hidup dalam borang yang kami semak.Dalam keputusan yang kami tanda tangan.Dalam krisis yang kami urus tanpa kamera. Dalam malam yang kami tahan tanpa pulang, demi rakyat yang tak tahu pun siapa nama kami.

Kamu cabar makna kesetiaan. Kami tak perlu jawab.Kami buktikan setiap hari dalam diam.

KALAU SEMUA PENJAWAT AWAM MAHU JADI PENJERIT, SIAPA LAGI YANG MAHU JADI PENJAGA?

Kami bukan alat mana-mana parti. Kami bukan penjilat mana-mana kuasa. Kami tidak berdiri kerana kami disuruh Kami berdiri kerana kami masih waras ketika dunia di luar sedang terbakar. Kamu ajak kami berarak. Tapi kamu tak ada pelan selepasnya. Kami kekal bekerja walau kadang dihina,kerana kami tahu, bangsa ini tak boleh dibina atas emosi semata.

PESAN KAMI, SEKALI UNTUK SEMUA

Kami tidak akan tunduk kepada desakan jalanan.Kami tidak akan terikut dengan emosi populis. Kami tidak akan tinggalkan tempat kami berdiri kerana kalau kami ikut kamu,yang jatuh bukan hanya kerajaan tetapi sistem seluruhnya.

 #KamiMasihBerdiri