Friday, January 6, 2023

PENTADBIRAN KERAJAAN PERPADUAN_ANTARA WAYANG KULIT ATAU TAK FAHAM KERJA!

Pada 24/11/2022, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke 10 setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada 02/12/2022 & 09/12/2022, Menteri-Menteri & Timbalan-Timbalan Menteri telah dilantik dan mengangkat sumpah jawatan masing-masing dan Kabinet Kerajaan Perpaduan telah dibentuk dan dengan rasminya, tertubuh Kerajaan baru selepas Pilihanraya Umum yang ke 15.

Kita perlu memberi ruang kepada kerajaan baru ini dibawah pimpinan Perdana Menteri ke 10 untuk melaksanakan tugasan serta tanggung-jawab yang diamanahkan dan memacu negara kembali bersatu padu dan memastikan politik, sosial dan ekonomi negara terus distabilkan. 

Perdana Menteri ke 10 - Datuk Seri Anwar Ibrahim

Setelah mengangkat sumpah dan semua jawatan-jawatan menteri dan timbalan menteri telah dilantik dan kabinet baru terbentuk, petugas-petugas MEDIA PROPAGANDA Perdana Menteri masih meneruskan propaganda mempromosikan PM X seolah-olah beliau masih berkempen untuk pilihanraya. Rata-rata MEDSOS dimuat naik dengan visual PM X memakai capal semasa mesyuarat, PM X menjawab panggilan telefon pemimpin Turki semasa sidang media berlangsung dan dipaparkan tanpa batasan perbualan-perbualan sulit PM X Malaysia dengan beberapa pemimpin-pemimpin luar negara dan ini membayangkan PM X seolah-olah GILA PUBLISITI. Satu falsafah terpaksa direka semata-mata kerana PM X tidak memakai tali leher dan ini dikaitkan dengan sikap tidak mahu terikat pada mana-mana pihak yang berkepentingan. Seterusnya dari hari pertama menjadi PM X , hari pertama di Parlimen 15, PM X mengasak kepimpinan terdahulu secara tergesa-gesa untuk mendedahkan skandal-skandal secara dangkal yang akhirnya didapati tidak menyeluruh dan boleh dipertikaikan segala pendedahan tersebut dan akhirnya memalukan pejabat Perdana Menteri itu sendiri. (Sila rujuk Laporan LAKSANA tentang perincian perbelanjaan kewangan pentadbiran kerajaan PM 8 & PM 9_LAPORAN LAKSANA)

Sebagai permulaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjadi seumpama PM Kartun apabila ucaptama-ucaptama beliau yang mengecam RASUAH dan pengamal RASUAH dan mahu pastikan secara CERAKIN, amalan rasuah dibenteras, tetapi melantik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang berhadapan pelbagai tuduhan amalan rasuah yang didedahkan sendiri oleh Pakatan Harapan semasa kempen pilihanraya ke 15. PM X tidak memakai tali leher sebagai simbolik tidak mahu terikat dengan pihak berkepentingan tetapi ironisnya, tanpa tali leher, tengkuk PM X telah terjerut kerana "no balls to tell off the candidate of Deputy Prime Minsiter to settle his pending HO YA HOOI corruption cases first"!. Mana pergi INTEGRITI sebagai seorang Perdana Menteri apabila secara WEWENANG mahu memastikan amalan rasuah dibenteras tetapi tidak mempunyai iltizam untuk tidak melantik seorang Timbalan Perdana Menteri yang berhadapan tuduhan rasuah di mahkamah. Akibat kemaruk kuasa maka prinsip digadai dan seluruh kerajaan perpaduan ini bertukar menjadi kerajaan maharaja lawak mega tapi PM X masih berwayang kulit bahawa beliau memegang kepada dasar prinsip ketelusan. Beruk di hutan pun  akan ketawa dengan keadaan cakap tak serupa bikin kerajaan perpaduan ini. Anwar Ibrahim is the King of King-Kong!

Tingkah laku Menteri-Menteri Kabinet

Kita dapati, beberapa menteri seperti Anthony Loke, Hanna Yeoh, Nga Kor Ming dan Adam Adli, telah mendedahkan mereka tidak faham tugas sebenar menteri atau timbalan menteri. Mereka masih bertindak seperti pemimpin pembangkang atau aktivis politik tanpa dapat melaksanakan tugas seorang menteri atau timbalan menteri dengan kefahaman yang baik.

Kerja utama menteri dan timbalan menteri adalah di pejabat. Kerajaan baru yang dibentuk ini adalah kerajaan yang ke 15 dan telah berfungsi selama lebih 65 tahun semenjak merdeka pada 1957. Penjawat awam yang menjadi tulang belakang setiap jentera kementerian adalah penjawat awam yang sama yang mempunyai pengalaman berpuluh tahun dan semua KSU,TKSU & ketua-ketua pengarah setiap kementerian telah berkhidmat dibawah beberapa menteri sebelum ini. Adalah menjadi satu tingkah laku yang menghina jentera kementerian apabila menteri-menteri dan timbalan menteri baru turun padang dan cuba melibatkan diri dengan operasi kementerian masing-masing seolah-olah kementerian tersebut tidak mempunyai hieraki jawatan dalam jentera kementerian yang begitu besar untuk melaksanakan tugasan-tugasan operasi bawahan. Semua ini akan menjadi perkara-perkara yang diperhatikan oleh pelabur-pelabur luar negara dimana mereka akan beranggapan menteri tidak mempunyai kepercayaan kepada jentera kementerian mereka sendiri. 

Kerja sebenar menteri dan timbalan menteri adalah dipejabat. Janganlah memegang jawatan sebagai seorang menteri atau timbalan menteri tetapi  bekerja seperti aktivis politik. Di pejabat, menteri-menteri dan timbalan masing-masing perlu meneliti lambakkan fail-fail yang masuk keluar dan memastikan setiap fail tersebut diberi perhatian kerana pegawai-pegawai kerajaan di dalam jentera kementerian masing-masing menunggu keputusan yang dibuat oleh mereka untuk melaksanakan sesuatu arahan yang telah diputuskan. Menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri kerajaan perpaduan ini telah mengambil alih daripada pentadbiran terdahulu maka perkara pertama yang perlu diteliti adalah lambakkan fail-fail di kementerian masing-masing yang perlu diselesaikan dan bukan masanya untuk turun padang bagi mendapatkan publisiti murahan kerana kerja-kerja meneliti fail-fail sedia ada yang ditinggalkan pentadbiran terdahulu mengambil masa berbulan lamanya. Keadaan negara sekarang ini masih belum stabil setelah keluar dari pandemik. Banyak kerja-kerja tertangguh yang melibatkan kehidupan rakyat yang perlu diberi perhatian daripada kebersihan tandas, keadaan padang basah atau perjalanan keretapi mengikut jadual. Peranan kamu adalah diperingkat strategik! 

Di sini kita ambil peluang menasihati menteri-menteri dan timbalan-timbalan menteri, usah gusar tentang tandas kotor di Dataran Merdeka, atau padang basah di stadium Bukit Jalil atau jadual LRT/MRT dan sebagainya kerana telah ada carta organisasi jentera kementerian yang telah dibangunkan secara cekap lebih 65 tahun untuk bertindak perkara-perkara yang boleh dilaksanakan oleh "office boy". Jangan malukan jawatan menteri atau timbalan menteri kerana anda tidak memahami gerak kerja masing-masing dan tidak tahu bekerja menerusi jentera organisasi kementerian masing-masing. Sudah-sudahlah wayang politik untuk penyokong-penyokong parti masing-masing. Anda sekarang adalah penjawat awam dan bekerja untuk seluruh rakyat Malaysia.

Kita faham, ahli politik yang menyandang jawatan awam dilihat mempunyai banyak kerja yang berkaitan dengan majlis-majlis orang ramai, merasmikan acara, menyampaikan sijil, berucap, bertemu dengan orang ramai dan menghadiri jamuan,tetapi itu bukan pekerjaan sebenar. Pekerjaan dan peranan menteri dan timbalan menteri seperti juga eksekutif yang lain ialah , memahami dasar, melaksanakan dasar, mengadakan polisi, melaksanakan polisi, menyelesaikan masalah, merancang serta melaksanakan rancangan bagi mencapai matlamat. Kesemuanya dilakukan di atas meja pejabat dengan fail masuk dan keluar. Sesebuah kementerian mempunyai pelbagai agensi dibawah kawal selia dengan setiap kementerian mempunyai KSU & TKSU serta Ketua Pengarah bagi semua jabatan-jabatan dengan penjawat-penjawat awam yang cukup berpengalaman. Menteri dan timbalan menteri bertindak pada tahap strategik (top management-tahap polisi & dasar) dan agensi-agensi serta jabatan-jabatan melaksanakan semua arahan kementerian pada peringkat taktikal (middle management) dan jentera-jentera  bertindak perihal melaksanakan operasi (lower management). Ini adalah asas pengurusan MBO (Management by Objective)

Kita juga faham seseorang menteri dan timbalan menteri mempunyai banyak peranan. Sebagai ahli politik, mereka mempunyai kewajipan terhadap kawasan pilihan rayanya, partinya dan para penyokongnya tetapi apabila menyandang jawatan awam, dia mempunyai tugas di kementeriannya. Mereka bermesyuarat dan mengadakan rundingan, serta mendengar taklimat, menyertai persidangan dan mengadakan lawatan di dalam dan luar negara.Tetapi pergerakan cepat sesebuah fail di pejabatnya itu amat penting kerana ia boleh menjejaskan keperluan rakyat yang sedang menunggu kelulusan atau keputusan penyandang jawatan awam itu. Setiap fail memerlukan keputusan menteri dan timbalan menteri dan kemudian ia baru masuk ke dalam jentera kerajaan untuk pelaksanaan menerusi prosedur dan proses perlaksanaan. Disini perlu dirakamkan bahawa menteri-menteri baru dalam kerajaan perpaduan ini perlu belajar melaksanakan kerja menerusi jentera-jentera organisasi kementerian masing-masing dan beri perhatian kepada fail-fail yang masih belum diambil tindakan kerana di dalam fail-fail tersebut adalah arahan-arahan yang dapat mengubah nasib rakyat di negara ini. Your work, starts in the office!

Peranan pemimpin adalah tuah yang disembah, junjung yang dipanjat dan jika patah kemudi, perahu hanyut!

oleh

Noor Mohamed

06/01/23

2.58 pagi

Changlun. Felda Batu 8 

Kedah Darul Aman