Wednesday, August 17, 2022

Rasuah atau Dana Politik - Antara Persepsi & Realiti

Terdapat perhubungan yang erat antara institusi politik dan institusi ekonomi. Sistem politik adalah satu aturan pengurusan manusia di dalam masyarakat. Aturan ini adalah bagi mengumpul sokongan menerusi ahli-ahli di dalam sebuah parti dari peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Tanggung-jawab ahli-ahli sesebuah parti antara lain adalah untuk memilih pimpinan di dalam parti dan dari pimpinan parti akan diatur pula calon-calon yang akan bertanding dalam pilihanraya negeri dan pilihanraya persekutuan.

Parti atau pakatan atau gabungan yang mendapat jumlah kerusi terbanyak di dalam pilihanraya negeri bagi kerusi dewan undangan negeri akan menguasai kerajaan negeri tersebut. Manakala, jika parti atau pakatan atau gabungan yang mendapat jumlah kerusi terbanyak di dalam pilihanraya umum bagi kerusi parlimen akan menguasai kerajaan persekutuan. Hematnya itulah aturan sistem politik di Malaysia. 

Insititusi ekonomi secara amnya dibahagikan antara institusi awam milik kerajaan dan insititusi swasta milik syarikat atau individu. Tujuan institusi ekonomi diwujudkan adalah bagi menjana keuntungan daripada aktiviti perniagaan. Institusi awam milik kerajaan termasuk syarikat-syarikat perbadanan negeri atau persekutuan dan syarikat pautan kerajaan (GLC). Institusi swasta pula adalah syarikat dalam bentuk perkongsian, enterprise, sendirian berhad atau berhad. Institusi ekonomi milik individu pula biasanya pemilikkan tunggal. Selain daripada itu terdapat pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan, Koperasi dan Kelab yang ditubuhkan antara lain ada juga yang menjalankan aktiviti perniagaan.

Kalau kita amati dengan lebih dekat, apa yang diperlukan oleh institusi politik? Dua perkara. Kuasa dan pengaruh. Jika kita tanya apa yang diperlukan oleh institusi ekonomi? Jawapnya, peluang perniagaan. Bagi sesebuah parti politik, kuasa dan pengaruh akan hanya dapat dikuasai jika mereka mempunyai ahli yang ramai dan berjaya mendapatkan sokongan dari seluruh pelusuk negara. Bagi melaksanakan tujuan ini, part-parti politik di Malaysia memerlukan dana dan mesti mempunyai cara-cara bagi mendapatkan dana tersebut. Di sinilah bermulanya perhubungan antara institusi politik dan institusi ekonomi yang menyalurkan kewangan kepada institusi politik dimana akan dibalas dengan diberikan peluang perniagaan.

Inilah asas kepada semua institusi-institusi politik samaada yang telah menjadi kerajaan atau yang mengetuai pembangkang. Di Malaysia, sehingga kini, tidak ada undang-undang atau peraturan yang komprehensif untuk mengawal tindak-tanduk parti-parti politik dan ahli-ahli politik dalam memperoleh dan membelanjakan dana bagi membiayai aktiviti-aktiviti politik mereka. Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak mempunyai klausa yang khusus mengenai pembiayaan politik tetapi sebagai undang-undang tertinggi negara ini, ia menyediakan sumber kuasa untuk semua agensi dan undang-undang. Perlembagaan Persekutuan, melalui Perkara 114, menyediakan peruntukan yang mewujudkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang bebas sebagai badan pengurusan pilihan raya tunggal yang memantau keseluruhan sistem pilihan raya.

Pembiayaan politik (political financing) dari sudut bahasa mencakupi skop yang sangat luas. Walau bagaimana pun, sesuai dengan penggunaan biasa, pembiayaan politik di sini lebih menjurus kepada perkara yang berkaitan dengan pembiayaan parti politik dan pihak lain yang berkaitan dengan kempen pilihan raya dan aktiviti lain yang dijalankan oleh parti politik (Marcin, 1999). Secara lebih terperinci, maksud pembiayaan politik terbahagi kepada tiga iaitu: (1) pembiayaan aktiviti parti politik sewaktu kempen pilihan raya; (2) pembiayaan aktiviti parti politik di luar kempen pilihan raya; (3) isu-isu pembiayaan yang berkaitan dengan agenda parti politik atau anggotanya untuk meluaskan sokongan politik (Gene, 2003).

Dalam sebuah negara demokrasi seperti Malaysia, parti politik mempunyai peranan besar dalam menjayakan persaingan politik. Parti mewakili agenda perjuangan sekumpulan manusia yang mempunyai citra perjuangan yang sama. Mereka bergabung bagi mengukuhkan persaingan mereka dalam persada politik memandangkan kemampuan calon bebas untuk bersaing di pentas demokrasi biasanya amat rendah. Oleh yang demikian, masyarakat menerima baik kepentingan untuk memberikan ruang yang selesa kepada parti politik untuk bergerak dengan lancar dan mantap.

Dalam konteks politik Malaysia pula, parti politik bukan sahaja memainkan kempen politik bahkan terlibat secara langsung dalam aktiviti kebajikan, pendidikan, pembangunan ekonomi, sukarelawan dan lain-lain. Parti-parti utama bukan sahaja beroperasi menjelang pilihan raya, bahkan beroperasi sepanjang masa (Gomez, 1991). Organisasi parti pula menjalar dari peringkat negara, negeri, daerah dan kampung. Hakikat ini menjadikan parti politik di Malaysia amat sebati dengan hati nurani rakyat terutamanya masyarakat desa (Johnson, 2003).

Sesebuah parti politik memerlukan sumber kewangan yang besar. Perbelanjaan yang banyak diperlukan untuk tujuan kempen pilihan raya serta urusan parti secara berkala. Bagi sesebuah organisasi parti yang besar dan sampai ke peringkat akar umbi, tentunya perbelanjaan yang diperlukan adalah lebih besar. Tambahan pula dalam konteks politik di Malaysia, anggota badan perundangan atau wakil rakyat dianggap sebagai tempat untuk mengadu bagi berbagai masalah termasuklah masalah kewangan (Andrew, 2005). Perbelanjaan yang diperlukan oleh wakil rakyat untuk memenuhi kehendak orang ramai hakikatnya tinggi. Sesebuah parti politik jika mempunyai ahli seramai 1 juta ke atas memerlukan antara Rm 10 billion hingga Rm 30 billion setahun. Bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang diadakan setiap 5 tahun, setiap parti politik besar yang bertanding memerlukan antara Rm 1 billion hingga 3.5 billion bagi setiap Pilihanraya Umum yang diadakan.(ini data antara 10 tahun yang lepas_PRU 13 & PRU 14).

Jika kita semak rekod semasa, kita akan mendapati, DAP adalah sebuah parti yang sentiasa menjadi hero di dalam menetang rasuah dan politik wang. Namun dari segi realiti, DAP adalah antara pihak pertama yang tidak menyokong usul diadakan undang-undang untuk menyenaraikan senarai pemberi dana politik pada 2010. Lebih ironis, Datuk Seri Najib Tun Razak, semasa beliau menjadi Perdana Menteri ke 6, pada tahun pertama beliau menjadi perdana menteri iaitu pada 2009, YAB Perdana Menteri telah membentuk Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) di sebalik keprihatinan orang ramai berhubung soal integriti dalam pembiayaan politik yang terus menjadi perhatian. Mandat yang diberikan kepada JKNMPP adalah satu tugas yang berat, tetapi ia langkah ke hadapan yang penting dalam merealisasikan aspirasi YAB Perdana Menteri untuk melihat penambahbaikan dalam sistem demokrasi di negara ini. JKNMPP telah diberi masa selama 12 bulan untuk mencari jalan dan membuat cadangan bagi menyelesaikan isu yang sudah lama wujud. Antara perkara pelik, Syed Sadiq Syed Abdul Rahman (Ahli Parlimen Muar, mantan Menteri Belia & Sukan era Pakatan Harapan, Bekas Ketua Armada Bersatu & kini Presiden MUDA), pernah menjadi ahli jawatankuasa JKNMPP ini (dari 2009 hingga 2016-7 tahun).sila rujuk - JKNMPP  (blog Sembang Mai akan kupas tajuk ini pada paparan akan datang, insya Allah).

Apa yang menjadi satu perkara yang aneh adalah, semua parti-parti politik di Malaysia, sama-ada dari pihak kerajaan atau pembangkang, terpaksa mengadakan punca-punca dana daripada institusi ekonomi untuk membiayai perjalanan parti tetapi parti-parti dari pihak pembangkang sentiasa menyerang kepentingan-kepentingan insitusi ekonomi yang dimiliki parti-parti kerajaan dan dana ini pihak pembangkang namakan rasuah. Tetapi apabila parti-parti pembangkang menjadi kerajaan maka mereka pula akan mengadakan institusi-institusi ekonomi bagi menyalurkan dana kepada parti atau pimpinan parti politik mereka pula dan ini mereka namakan dana politik. Inilah persepsi dan realiti politik semasa di Malaysia. 


oleh

Noor Mohamed

17/08/22

2.36pagi

Changlun. Felda Batu 8