Saturday, August 13, 2022

Politik Malaysia di Persimpangan

 Salam Sejahtera

"Walau disepuh emas lancang, kilat tembaga tampak jua".

Politik telah menjadikan penduduk di Malaysia dalam polarisasi sekarang ini. Pendukung-pendukung parti-parti politik sudah terpisah kepada dua kelompok besar yang bertelagah. Saya amati secara dekat, penyokong PAKATAN HARAPAN adalah dari kalangan Melayu,Cina,India, Iban. Kadazan, dll etnik yang rata-rata tinggal di bandar-bandar besar, pekerjaan tetap, professional dan para usahawan yang rata-rata tidak mendapat habuan dan laba Barisan Nasional.

Manakala Barisan Nasional, terutama sekali UMNO juga mendapat sokongan dari Melayu,Cina,India, Iban, Kadazan, dll etnik yang rata-rata tinggal di kampung-kampung, Felda, para petani, nelayan, penoreh getah, peniaga kecil, golongan muda di pinggir kampung dan juga golongan konservatif & agamawan bersemangat kebangsaan yang juga tinggal di bandar-bandar dan mereka ini juga ada dari kalangan yang mempunyai pekerjaan tetap, professional dan para usahawan yang mendapat habuan dan laba dari Barisan Nasional. 

PRU 15 bakal menjelma tidak lama lagi tetapi senario kali ini berbeza dengan keadaan PRA PRU 14 di mana serpihan Pakatan Harapan, DAP, PKR & AMANAH dan juga janda-janda berhias PAKATAN HARAPAN seperti BERSATU, MUDA, PEJUANG & GATAI (GABUNGAN TUN MAHATHIR) kini tidak mempunyai keyakinan untuk MENGHADAPI PRU 15 sebagaimana bersemangat dan yakinnya mereka ketika PRU 14.

Kenapa? 

Manakala Barisan Nasional setelah memenangi pelbagai PRK (Pilihanraya Kecil) dan Pilihanraya Negeri Melaka & Johor, seperti telah mendapat semangat baru dan yakin bahawa mereka bakal memenangi PRU 15 jika diadakan secepat mungkin.

Jika kita lihat keputusan PRU 14 - sebelum lompatan katak-katak politik, adalah seperti berikut ;

Pakatan Harapan - 113  (51%)

Barisan Nasional - 79  (36%)

Pas - 18  (8%)

Dan lain-lain (Bebas) - 12  (5%)

Data di atas menunjukkan, di kala Pakatan Harapan dalam keadaan terkuat, mereka hanya mampu memenangi 51% daripada keseluruhan jumlah undi. Ini logik matematik yang mudah. Ini adalah jawapan kepada persoalan kenapa Pakatan Harapan takut menghadapi PRU 15 sekarang.  Gabungan ini pula kini berpecah menjadi Pakatan Harapan 2.0, Perikatan Nasional - PAS & Bersatu, Muda, Pejuang dan GATAI yang hanya akan memecahkan peratusan 51% ini menjadi kurang dan akhirnya akan menyebabkan kekalahan pada PRU 14. Pas yang mempunyai 8% jumlah kerusi Parlimen tidak akan membawa apa-apa makna kepada gabungan yang mereka sokong malah mereka memerlukan sokongan pihak lain untuk terus kekal memegang jawatan dalam kabinet kerajaan yang sangat mereka sukai sekarang ini. 

Manakala Barisan Nasional, dengan peratusan 36% pada tahap paling lemah tetapi masih  signifikan sekarang ini mempunyai peluang merebut semula kuasa menjadi kerajaan selepas PRU 15 dengan hanya menarik undi-undi Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, dll etnik yang berasa sudah tertipu dengan sandiwara PakatanHarapan . Ketika ini, saya mendapat berita bahawa Tun Daim Zainuddin akan kembali menyokong Barisan Nasional dan saya percaya beliau sudah dapat meng-agak kemenangan akan berpihak kepada Barisan Nasional. 

Ini pendapat saya. 

Kenapa Pakatan Harapan menang PRU 14? Ada dua isu besar. No 1 adalah faktor propaganda terhadap 1MDB yang digunapakai oleh PH untuk character assasinate (pembunuhan watak) Datuk Sri Najib dan UMNO. No 2. Tun Dr Mahathir Mohamad yang berjaya menarik sebahagian besar orang-orang Melayu di kampung-kampung dan bandar bagi menyokong gabungan terbaru ini yang mana setiap satu daripada kepimpinan parti-parti dalam Pakatan Harapan adalah musuh tradisi antara satu sama lain. Dalam erti kata lain, Pakatan Harapan telah MENIPU & BERBOHONG kepada pengundi-pengundi yang menyokong mereka bahawa gabungan mereka adalah yang paling kuat dan paling baik untuk rakyat Malaysia. Pembohongan ini terbukti apabila retak menunggu belah berlaku dan pada 24hb Februari 2020, Pakatan Harapan hancur tetapi di salahkan pada Langkah Sheraton. Jika Tun Dr Mahathir tidak meletakkan jawatan, Pakatan Harapan mungkin masih memerintah tetapi kini terbukti bahawa gabungan Pakatan Harapan adalah satu pakatan yang mengundang rebah daripada manfaat.

Selama 22 bulan memerintah, saya mendapati bahawa parti-parti dalam Pakatan Harapan hanya mementingkan agenda parti masing-masing tanpa mempedulikan keluh kesah rakyat. 

DAP, yang dipelopori oleh bangsa Cina dari etnik Hainan yang beragama Nasrani Kelahiran Semula (Born Again Christian) / sebahagian lain Cina etnik Hakka) dan bangsa India beragama Hindu yang tetiba menjadi sangat taksub kepada identiti India mereka, sangat rakus di dalam menghapuskan hak-hak orang Melayu terutama apa sahaja yang dibina oleh UMNO bagi manfaat orang-orang Melayu. Anutan politik DAP sebenarnya berhaluan kiri dan cenderung kepada ideologi sosialis ala komunis. Bukti sahih apabila mereka menerapkan ideologi komunis menerusi komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” yang disebarkan secara meluas di sekolah-sekolah sehingga ini dibahaskan dalam Parlimen_Oktober 2019_(sila rujuk - https://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-29102019.pdf ) dan juga usaha mereka untuk membawa pulang abu Chin Peng juga menjadi petunjuk betapa kuatnya pegangan mereka ini.

Sebaik sahaja memenangi PRU 14, DAP, menerusi Ahli-Ahli Parlimen India (diterajui  Menteri Perpaduan, Senator P. Waytha Moorthy), telah mencadangkan ICERD dan ia dijalankan secara tergesa-gesa tanpa melalui apa-apa perbincangan dengan kepimpinan Melayu lain dalan Pakatan Harapan. Implikasi ICERD secara halus memperjuangkan hak minoriti tetapi apa sebenarnya agenda DAP adalah usaha menghapuskan hak-hak majoriti Melayu di tanah Melayu melalui ICERD. 

"Tanah Rizab Melayu, Regimen Askar Melayu Di-Raja,Undang-undang Syariah, UITM, Maktab Rendah Sains Mara, Kuota Bumiputera, Perkara 153 (Hak-hak keistimewaan orang Melayu), Perkara 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan), Perkara 3(1) (Islam sebagai agama Persekutuan) dan Ahli Sunnah Wal Jamaah aliran rasmi Islam di Malaysia (mengiktiraf Syiah, golongan Khawarij, Anti-Hadis, dll ajaran sesat) tidak terkecuali akan menerima kesan sekiranya kerajaan bersetuju meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), di mana kesemua perkara-perkara yang disenaraikan tersebut itu merupakan satu perkara yang dianggap sebagai diskriminasi antara kaum di bawah konvensyen tersebut" 

PKR sebaliknya mempunyai agenda tersendiri iaitu memperjuangkan niat untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Republik dengan meruntuhkan institusi-institusi Raja-Raja Melayu, memperkenalkan ajaran pluralisma agama dan mengangkat golongan Melayu liberal yang mana hasil natijahnya adalah bangsa Melayu akan menjadi bangsa bangsat di Tanah Melayu apabila hak-hak istimewa orang-orang Melayu dan agama Islam disama ratakan di dalam sebuah Republik Malaysia. Ini semua dilakukan bertopengkan agenda REFORMASI. Kesan kepada agenda PKR dan disokong oleh DAP, sekarang kita dapati individu seperti Siti Kassim yang mencabarkan setiap perundangan syariah atas dasar Islam Liberal, dan betapa DAP menyokong setiap kes mencabar keputusan mahkamah syariah seperti usaha memurtadkan tiga kanak-kanak yang diIslamkan di Perlis dan peguam-peguam DAP bersatu membantu Melayu berfahaman liberal dan bukan Islam yang menghina agama Islam secara terbuka adalah bukti rencana mereka mencapai objektif menjadikan Malaysia sebagai sebuah Republik.

DAP & PKR pada asasnya melalui Himpunan Janji Demokrasi yang berlangsung pada hari Merdeka_31hb Ogos 2012, telah membawa bendera ala Republik Singapura dan Indonesia untuk dihidangkan kepada golongan muda di negara ini agar mereka mula berjinak-jinak dengan agenda Republik ini. Musuh utama agenda ini adalah institusi Raja-Raja Melayu, para ulama sunnah yang menjaga institusi agama Malaysia dan juga golongan kebangsaan yang memperjuangkan hak-hak keistimewaan orang-orang Melayu terutama UMNO. Raja-raja Melayu, ulama dan UMNO adalah benteng utama agenda Republik ini maka tidak hairanlah DAP dan PKR sentiasa cuba menghasut golongan Melayu Liberal supaya benci kepada institusi Raja-Raja Melayu, ulama dan UMNO. Apa sahaja yang boleh menyemarakkan terutama semangat Islam di kalangan orang-orang Melayu akan ditentang dan saya nampak perkara ini apabila DAP begitu mendesak supaya Dr Zakir Naik dihantar pulang ke India kerana cara dakwah Dr Zakir Naik, membawa pendekatan intelektual dan telah menyuntik semangat dakwah di kalangan golongan muda di negara ini.

Saya mendapati, Pakatan Harapan telah menggunakan teknik propaganda dengan menyerang  1MDB untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib dan UMNO kononnya inilah agenda KLEPTOKRASI UMNO semata-mata bagi memperkayakan golongan bangsawan di kalangan UMNO. Ini pendapat saya. Jika benar 1MDB adalah clear cut case terhadap Datuk Seri Najib, kenapa setelah 22 bulan PH berkuasa mereka masih gagal mensabitkan kesalahan terhadap beliau sehingga terpaksa menukar Ketua Pengarah SPRM dengan lantikkan politik, Latifa Koya? Kes SRC yang dikatakan paling clear cut tiba-tiba mendapati Hakim yang membicarakan kes tersebut mempunyai asas untuk conflict of interest dan kini mungkin ada asas untuk kes SRC dibicarakan semula?

Kenapa Datuk Seri Najib mengadakan 1MDB? Tujuan asal 1MDB di adakan adalah bagi mendapatkan dana bagi menjalankan projek-projek mega untuk meningkatkan infrastruktur seluruh Malaysia bagi membangunkan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. 1MDB adalah sebuah investment company yang bermula dengan modal RM 1juta sahaja. Apa yang 1MDB cuba lakukan adalah dengan mendapatkan pinjaman dari sebuah bank di Amerika Syarikat dengan tujuan wang ini digunakan bagi membeli aset-aset bermutu tinggi dan juga perlaburan seperti sukuk bagi mendapatkan pulangan untuk diguna pakai bagi tujuan projek-projek pembangunan di Malaysia. Namun begitu terdapat ketirisan-ketirisan yang tidak dapat dikawal dan pihak pembangkang yang diketuai Tun Dr Mahathir telah merencanakan serangan ke atas ketirisan yang berlaku tanpa mengambil kira manfaat yang didapati dari 1MDB. 

Berdasarkan kajian Semakan Online melalui kenyataan media, berikut adalah pinjaman yang dibuat oleh 1MDB bagi melancarkan beberapa projek besar yang melibatkan pembangunan hartanah komersial dan Janaan Kuasa Bebas (IPP). Berdasarkan harga semasa hartanah dan projek, jumlah keseluruhan pinjaman yang sepatutnya berada dalam tanggungan 1MDB adalah kira-kira RM 42 bilion. Antaranya:

  • Pembelian Tanjong Energy (kini dikenali sebagai Tenaga Powertek Sdn Bhd) daripada Ananda Krishnan. Jumlah pinjaman RM8.5 bilion.
  • Pembelian Genting Sanyen Power Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Loji Kuala Langat Kuasa). Jumlah pinjaman RM2.3 bilion.
  • Pembelian Jimah Energy dengan jumlah pinjaman RM1.2 bilion.
  • Pembelian 70 ekar tanah TRX di Jalan Tun Razak berjumlah RM320 juta, kira-kira RM64.00 setiap kaki persegi.
  • Pembelian 495 ekar tanah di bekas Lapangan Terbang Sungai Besi TUDM (kini dikenali sebagai Bandar Malaysia) kira-kira RM363.5 juta iaitu RM 91.00 setiap kaki persegi.
  • Pembelian 234 ekar tanah di Air Itam di Pulau Pinang berjumlah RM1.38 bilion, kira-kira RM135.00 setiap kaki persegi.

Saya mendapati kenyataan saksi-saksi dalam kes 1MDB membenarkan kebaikkan 1MDB antara lain;

1. Menyelesaikan masalah perjanjian penjana elektrik bebas (IPP) berat sebelah ketinggalan PM ke-4 yang menyunmbang RM8 bilion hingga RM10 bilion kepada PETRONAS setiap tahun untuk tempoh 20 tahun yang akan datang. Dengan penyelesaian itu juga, harga saham TNB naik tiga kali ganda dari RM5 hingga RM16 setelah keuntungan TNB berganda naik. Ini memberi manfaat kepada semua ahli Tabung-tabung rakyat seperti KWSP, PNB, Tabung Haji dan KWAP.

2. 1MDB membina atau menaik taraf lapan pangkalan udara negara termasuk pangkalan udara Sendayan yang merupakan pangkalan paling besar dan paling moden negara.

3. Projek Bandar Malaysia dengan nilai pembangunan RM140 bilion di mana kerajaan PH telah menjual sebahagian dari projek ini dengan harga RM7.41 bilion pada bulan April tahun ini.

4. Projek TRX dengan nilai pembangunan RM40 bilion.

5. Perjanjian penyelesaian dengan IPIC di mana syarikat milik kerajaan Abu Dhabi itu berjanji untuk memulangkan segala dana yang disyarki hilang sebelum 30 Disember 2020.

Strategi Datuk Seri Najib adalah untuk tidak menggunakan dana Petronas dan juga dana-dana GLC lain bagi menampung perbelanjaan kos pembangunan projek-projek mega di Malaysia yang berkisar pada memperkasakan pembangunan strategik khususnya dalam perlaburan aset-aset strategik, pembangunan estet hartanah, urusan pembangunan sumber daya tenaga, sektor pengangkutan, pelancongan dan agro-perniagaan.

Pada pengamatan saya, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri ke 4, beliau juga telah mendapatkan pinjaman berbeliyon (RM 2 billion pada tahun 1994 hanya untuk membina KLIA - sila rujuk - http://studentsrepo.um.edu.my/6126/2/2)Bab_1-Bibliografi.pdfdaripada negara Jepun bagi memajukan sektor pembangunan negara ini dengan pesatnya dan usaha beliau tidak diganggu oleh mana-mana pihak walaupun terdapat pelbagai skandal yang berlaku semasa pemerintahan beliau. Cuma di zaman Tun Dr Mahathir kita belum mempunyai media sosial sebagaimana yang kita ada sekarang. Berikut adalah antara kegagalan era Tun Dr Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri ke 4;

1. LRT Putra-Kelana Jaya

Dengan 25 stesen sejauh 29 kilometer, LRT Putra-Kelana Jaya yang dibina telah diswastakan kepada United Engineers Malaysia (UEM) milik Halim Saad, mula beroperasi 1998. Projek ini telah bankrap dan bail-out, diambil alih oleh Prasarana milik kerajaan pada tahun 2002 dengan nilai RM5.3 bilion.

2. LRT2 (Star-Ampang)

Projek Mahathir ini telah diswastakan kepada KL transit Group Assest (30 peratus) dan mula beroperasi 1996. LRT2 telah jatuh bankrap dan bail-out oleh kerajaan pada tahun 2002, diambil alih oleh Prasarana milik kerajaan dengan nilai RM3.3 bilion.

3. KL Monorail

Projek Monorel yang diswastakan kepada KL Infra Group milik Vincent Tan telah diluluskan pada mesyuarat kabinet Jun 1989. Kos yang dianggarkan sebanyak RM 143 juta ternyata jauh tersasar apabila menelan belanja sebanyak RM1.18 bilion setelah projek tersebut siap dibina dan beroperasi pada tahun 2003. Projek ini jatuh bankrap disebabkan syarikat tersebut banyak menanggung kerugian akibat susut nilai dan kos pembayaran faedah. Pada 30 April 2004, KL Infra mencatat kerugian bersih RM46.24 juta daripada hasil jualan RM15.08 juta. KL Monorail telah diselamatkan dan diambil alih oleh Prasarana milik Kerajaan pada tahun 2007 dengan nilai RM882 juta.

4. Bas Intrakota

Intrakota telah mula beroperasi pada tahun 1998 dan diswastakan kepada DRB-Hicom konon bagi menghapuskan imej bas mini yang buruk dan tidak berdisiplin. Projek ini namun bankrap dan bail-out dilaksanakan oleh kerajaan pada 2003 dengan diselamatkan oleh Prasarana dengan nilai RM177 juta.

5. Skandal Perwaja Steel

Perwaja Steel bermula pada tahun 1982 sebagai usaha sama antara Perbadanan Heavy Industries milik kerajaan dan syarikat Jepun Nippon Steel Corporation namun syarikat Jepun telah menarik diri disebabkan hutang yang banyak. Merujuk Malaysia Today, Mahathir sendiri mengakui secara terbuka pada tahun 2002 bahawa Perwaja kehilangan RM10 bilion semasa dialog dengan rakyat Malaysia di London dan mengakui terdapat kemungkinan penyelewengan dana serta salah urus di Perwaja. Jumlah kerugian telah meningkat kepada RM2.49 bilion daripada RM1 bilion apabila Eric Chia mengambil alih dan Perwaja telah dilumpuhkan oleh hutang tambahan berjumlah RM5.7 bilion. Projek ini telah diambil semula oleh kerajaan semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk diselamatkan.

6. Skandal Bank Bumi

Lapor Asia Correspondent, skandal Bank Bumi semasa zaman Tun Mahathir berkait kehilangan berbilion-bilon duit yang dibenlanjakan. Apabila ditanya, Mahathir cuba mengelak isu tersebut dengan mudah mengatakan dirinya tidak terlibat dengan skandal Bank Bumi. “Saya tidak mencuri duit. Wang itu hilang dan ia adalah wang bank,” kata Dr. Mahathir kepada akhbar tempatan pada Mei 2015.

7. Empangan Bakun

Krisis ekonomi empangan hidroelektrik ini melibatkan banyak tangan yang silih berganti terdiri daripada syarikat-syarikat swasta sejak bermulanya projek tersebut pada tahun 1960-an lagi. Semasa zaman Mahathir, terdapat pelbagai halangan yang berlaku sehingga projek ini diserahkan kepada kroninya Tan Sri Ting Pek Khiing. Namun disebabkan berlaku isu dengan masyarakat setempat dan masalah kewangan, projek ini terbengkalai. Kerajaan terpaksa menyelamatkan projek empangan Bakun daripada terus terbengkalai dan mengalami kerugian yang besar.

8. Proton

Proton telah memohon kerajaan sebanyak RM1.5 bilion dengan alasan mahu menggunakan wang tersebut untuk membayar vendor, namun setelah kereta itu mendapat pasaran Proton masih lagi mahu bantuan wang kerajaan bagi membuat pembayaran tersebut. Secara langsung, Proton terpaksa bail-out oleh kerajaan bagi melunaskan hutang-hutang tersebut kepada vendor. Malah, pendaptan Proton yang dieksport merudum hanya 7,622 pada tahun 2003 berbanding 14,965 pada 1994, dan 25,686 pada 1997. Kemudian, Proton telah diambil alih oleh kumpulan DRB-HICOM milik jutawan Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhari.

9. Forex

Skandal pasaran pertukaran asing atau forex pada 1990-an menjadi tanda tanya sehingga kini di mana perginya wang lebih RM30 bilion yang hilang begitu sahaja tanpa ada siapa yang bertanggungjawab. Kerugian terbesar yang disifatkan lebih lima kali ganda rizab asing negara ketika itu berlaku disebabkan kelemahan kepimpinan kerana berlaku spekulasi wang asing tanpa kawalan. Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dalam laporannya percaya bahawa Mahathir merelakan tindakan Menteri Kewangan ketika itu Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mengakibatkan bank pusat mengalami kerugian berjumlah RM31.5 bilion bagi tempoh 1992 hingga 1994.

10. Malaysia Airlines (MAS)

Pada era 1990-an ini, Mahathir melalui Tun Daim Zainuddin, bagi pihak Kerajaan Malaysia, mengarahkan Tajudin Ramli membayar RM8 sesaham (jauh melebihi harga pasaran ketika itu RM3.50) bagi saham MAS untuk membantu mengelakkan Bank Negara Malaysia (BNM) rugi berbilion ringgit akibat kerugian dalan skandal pertukaran asing. Oleh disebabkan MAS terpaksa menanggung kerugian forex, MAS terpaksa diswastakan dan prestasinya turun mendadak sehingga bail-out dengan harga yang tinggi oleh kerajaan. Mungkin Mahathir sudah lupa kegagalan yang dihadapinya dahulu sehingga banyak projek mega telah bankrap dan terpaksa diambil oleh kerajaan untuk diselamatkan dan diteruskan demi kepentingan rakyat.

Jika dibuat satu kajian analisa komparatif secara telus dan adil, para penganalisa dan pemikir akan mendapati skandal-skandal di zaman Tun Dr Mahathir lebih berat dan besar kerugiannya dan di coverup secara total dan bailout dilakukan secara senyap. Apa yang berlaku kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah apabila beliau cuba untuk expose skandal-skandal Tun Dr Mahathir maka kita tahu apa yang berlaku kepadanya.

Setelah Pakatan Harapan mengambil alih, kita dapati rakyat menjadi gusar bermula dengan kes Mohd Adib. 

Pada 26 November 2018, pergaduhan membabitkan dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi.Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, Muhammad Adib, 24, diserang dan pukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar. Mohd Adib meninggal dunia akibat daripada kemalangan ini. 

Peristiwa membuktikan kegagalan kerajaan Pakatan Harapan yang membiarkan emosi luar kawalan orang-orang India ketika itu yang mempertahankan kuil mereka dan peranan kepimpina India dari Pakatan Harapan yang tidak turun padang untuk meredakan keadaan telah menyebabkan satu kemalangan yang dapat dielakkan. 

Seterunsya, kemuncak kepada kegagalan Pakatan Harapan setelah 21 bulan menerajui kerajaan campuran ini, Tun Mahathir mengaku bahawa Manifesto bukan Janji. Ini adalah satu PEMBOHONGAN kepada seluruh rakyat Malaysia dan ini diikuti dengan PENGKHINATAN terbesar apabila Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan tanpa berunding dengan mana-mana pemimpin Pakatan Harapan.

Saki baki kegagalan Pakatan Harapan, dengan banyak lagi pengabaian tanggung-jawab seperti skandal terowong Lim Guan Eng, skandal sex Azmin Ali yang tidak diambil tindakan langsung sebagaimana yang dilakukan Tun Dr Mahathir terhadap Anwar Ibrahim dan juga rombakkan institusi kehakiman dimana ketua hakim dan lain-lain hakim dilantik atas cadangan Perdana Menteri juga membawa implikasi yang buruk terhadap pentadbiran negara ini. Ketika ini Pakatan Harapan 2.0 sibuk mencari skandal bagi menggantikan 1MDB dengan membawa isu LCS yang  pada hemat saya adalah akibat kegagalan kerajaan PH mengambil tindakan atas isu ini semasa mereka berkuasa dan membiarkan projek ini terus berdarah tanpa ada inisiatif membetulkan keadaan dan kini mereka cuba mengaitkan isu LCS ini sekali lagi kepada Datuk Seri Najib bab ibarat kata - 

walaupun PH TERBERAK DALAM SELUAR NAMUN TETAP MENUDUH, ORANG LAIN YANG KENTUT BUSUK.

 oleh

Noor Mohamed

13/08/22

3.14pagi

Changlun. Felda Batu 8